Ini adalah kunjungan pertama anda di blog Keris Mas "Selamat Datang!" Terima kasih kerana sudi melawat blog ini

Saturday 30 March 2019

Pahlawan Rimba Malaya




Selepas zaman penjajahan, perkembangan sastera Melayu semakin  berkembang. Keris Mas merupakan tokoh yang terpenting dan cukup berpengaruh kepada golongan penulis muda dalam menarik minat dan perhatian mereka untuk lebih mendalami bidang sastera. Beliau telah membentuk namanya sebagai penulis dalam bidang sastera melalui bakat, pemikiran yang kritis, penguasaan bahasa yang baik dan kematangan pengalaman yang dimiliki. Keris Mas merupakan antara seorang penulis yang amat mementingkan mutu penghasilan sesebuah karya daripada jumlah karya yang dihasilkan.

Novel beliau yang pertama dihasilkan ialah Pahlawan Rimba Malaya yang diikuti novel Korban Kesuciannya yang mula diterbitkan pada tahun 1976.  Menurut keterangannya, Pahlawan Rimba Malaya diterbitkan lebih pendek daripada manuskrip asalnya.  Oleh sebab pihak penerbit mengalami kekurangan kertas pada waktu itu, maka isi novel tersebut telah disingkatkan.
       



Sedutan novel Pahlawan Rimba Malaya (1946) …

”… Besoknya pagi-pagi benar Jefri telah keluar pula membimbit satu bungkusan kecil dalam tangannya. Tiada lama antara dia telah berada dalam sebuah bas menuju ke Batu Caves. Keadaan yang sunyi di sekeliling bukit batu yang tinggi-tinggi terjal itu menukar perasaan orang dari bandar-bandar besar yang datang ke situ. Dahulu, tempat itu masyhur menjadi tempat makan angin, melihat keajaiban alam yang aneh-aneh. Di sebelah muka bukit itu yang menghadap ke jalan raya dibuat orang tangga batu yang indah, beratus-beratus anak tangga tingginya. Di puncak anak tangga itu ternganga sebuah gua yang besar, ajaib dan mengagumkan bentuknya. Itulah yang disebut Batu Caves atau gua batu … ’’


Sedutan novel Korban Kesuciannya (1949) …

‘’ … Sejak kejadian yang ganjil itu berlaku sampai sekarang telah hampir sebulan masa berlalu di sekeliling kehidupan Cikgu Aini. Dalam masa sebulan yang singkat itu telah sekian banyak pula kejadian yang tiada disangka-sangka dan sebaliknya daripada yang direka-reka dan difikir-fikirkannya selama ini telah terjadi dan telah menjadikan dia seperti orang yang kehilangan akal, buntu dan sempit segalanya dalam perasaannya menerima keadaan-keadaan yang timpa-bertimpa sahaja datang mengharu-biru ketenangan hidupnya yang telah lama diusahakannya itu ….’’



No comments:

Post a Comment