Selepas zaman penjajahan,
perkembangan sastera Melayu semakin
berkembang. Keris Mas merupakan tokoh yang terpenting dan cukup
berpengaruh kepada golongan penulis muda dalam menarik minat dan perhatian
mereka untuk lebih mendalami bidang sastera. Beliau telah membentuk namanya
sebagai penulis dalam bidang sastera melalui bakat, pemikiran yang kritis,
penguasaan bahasa yang baik dan kematangan pengalaman yang dimiliki. Keris Mas merupakan
antara seorang penulis yang amat mementingkan mutu penghasilan sesebuah karya daripada
jumlah karya yang dihasilkan.
Novel
beliau yang pertama dihasilkan ialah Pahlawan Rimba Malaya yang diikuti novel Korban
Kesuciannya yang mula diterbitkan pada tahun 1976. Menurut keterangannya, Pahlawan Rimba Malaya
diterbitkan lebih pendek daripada manuskrip asalnya. Oleh sebab pihak penerbit mengalami
kekurangan kertas pada waktu itu, maka isi novel tersebut telah disingkatkan.
Sedutan novel Pahlawan
Rimba Malaya (1946) …
”… Besoknya pagi-pagi benar Jefri telah keluar
pula membimbit satu bungkusan kecil dalam tangannya. Tiada lama antara dia
telah berada dalam sebuah bas menuju ke Batu Caves. Keadaan yang sunyi di
sekeliling bukit batu yang tinggi-tinggi terjal itu menukar perasaan orang dari
bandar-bandar besar yang datang ke situ. Dahulu, tempat itu masyhur menjadi
tempat makan angin, melihat keajaiban alam yang aneh-aneh. Di sebelah muka
bukit itu yang menghadap ke jalan raya dibuat orang tangga batu yang indah,
beratus-beratus anak tangga tingginya. Di puncak anak tangga itu ternganga
sebuah gua yang besar, ajaib dan mengagumkan bentuknya. Itulah yang disebut
Batu Caves atau gua batu … ’’
Sedutan
novel Korban Kesuciannya (1949) …
‘’ … Sejak kejadian
yang ganjil itu berlaku sampai sekarang telah hampir sebulan masa berlalu di
sekeliling kehidupan Cikgu Aini. Dalam masa sebulan yang singkat itu telah
sekian banyak pula kejadian yang tiada disangka-sangka dan sebaliknya daripada
yang direka-reka dan difikir-fikirkannya selama ini telah terjadi dan telah
menjadikan dia seperti orang yang kehilangan akal, buntu dan sempit segalanya
dalam perasaannya menerima keadaan-keadaan yang timpa-bertimpa sahaja datang
mengharu-biru ketenangan hidupnya yang telah lama diusahakannya itu ….’’